Abang Kandung Dipenjara 18 Tahun, 20 Sebatan Rogol Adik Sendiri

PASIR MAS: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya yang berusia 13 tahun.

Hakim Zulkpli Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 29 tahun yang juga seorang penganggur selepas pengakuan bersalah direkodkan bagi semua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Tanah Merah dalam dua kejadian berasingan iaitu sekitar jam 10 pagi dan 12.45 tengah malam pada Disember tahun lalu serta 4 Mei lalu.

Kes dikendalikan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nailah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, tertuduh memohon untuk menjalani hukuman di Penjara Mempaga, Pahang.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Menurut pihak pendakwaan, tertuduh yang merupakan abang sulung kepada mangsa sepatutnya melindungi adiknya, namun bertindak sebaliknya apabila mengambil kesempatan terhadap mangsa yang masih bawah umur.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 5 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman.

BBerkaitan

Latest articles