Penganggur Didakwa Bunuh Jiran Warga Emas

IPOH: Seorang lelaki penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh jirannya yang juga seorang wanita warga emas dalam kejadian minggu lalu.

Tertuduh, Foon Choon Kheong, 53, hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Evangelin Simon Silvaraj.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Woo Chui Fun, 70, di sebuah rumah di Persiaran Pegoh Aman 2, Taman Desa Aman, dalam daerah Kinta antara jam 4.40 petang hingga 10 malam pada 4 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta maksimum 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman gantung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili peguam, Khesminkapil Singh Dhanoa.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu melibatkan pertuduhan bunuh.

Kes kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Ogos depan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah memaklumkan mangsa ditemukan maut dengan kesan kecederaan dipercayai akibat ditetak pada beberapa bahagian badan termasuk kepala dan leher.

Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Menurut polis, suspek yang juga jiran mangsa pernah menerima rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada Februari lalu.

BBerkaitan

Latest articles