PAROI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui kemelut politik yang melanda negeri itu bukan sahaja mencabar kedudukannya, malah turut memberi kesan emosi mendalam kepada dirinya.
Menurut beliau, episod yang berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang makluman itu meninggalkan rasa terkejut dan hiba, bukan sahaja kepada dirinya malah kepada rakan seperjuangan dalam kerajaan negeri.
Dalam masa sama, Aminuddin menyifatkan krisis tersebut sebagai pengalaman besar yang membentuk semula perspektif kepimpinannya serta menjadi pengajaran penting buat semua pihak.
Beliau menegaskan, apa yang berlaku perlu dijadikan titik kebangkitan kepada jentera Pakatan Harapan (PH) untuk lebih bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
“Kita perlu ambil ini sebagai pengajaran dan sejarah yang akan membuktikan apa sebenarnya yang berlaku, sekali gus memperkukuh parti untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana PH di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi yang turut dihadiri beberapa pimpinan utama gabungan itu.
Aminuddin turut menggesa ahli parti, penyokong serta pengundi atas pagar agar kekal tenang dan memperkukuh jentera parti termasuk PKR, Amanah dan DAP bagi menghadapi sebarang kemungkinan politik.
Terdahulu, beliau memaklumkan kestabilan politik negeri telah kembali pulih selepas kerjasama antara UMNO dan PH dalam Kerajaan Perpaduan diputuskan untuk diteruskan.










