Sekolah Diarah Perketat Kawalan Keselamatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan arahan segera kepada semua sekolah di bawah seliaannya supaya memperkukuh langkah keselamatan, susulan insiden tragis melibatkan seorang murid perempuan Tahun 2 yang maut selepas dilanggar van di hadapan sebuah sekolah di Parit Sulong, Batu Pahat.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian menegaskan kejadian itu menjadi peringatan serius bahawa prosedur keselamatan sedia ada perlu ditambah baik demi melindungi murid, guru serta seluruh warga sekolah.

KPM mengarahkan pihak sekolah memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat yang sedang berkuat kuasa, sambil memaklumkan bahawa garis panduan baharu kini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Menurut kementerian, penambahbaikan itu mengambil kira cadangan daripada Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan, selain mendapatkan pandangan pakar termasuk Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara bagi memperkukuh prosedur keselamatan khususnya melibatkan pergerakan kenderaan dalam kawasan sekolah.

“KPM memandang serius insiden ini dan kekal komited memastikan persekitaran sekolah sentiasa berada pada tahap selamat,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, semua pentadbir sekolah turut diarahkan supaya mengingatkan warga sekolah mengenai kepentingan keselamatan, termasuk kawalan trafik dan pengendalian kenderaan di dalam serta sekitar kawasan sekolah.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut semalam, selepas dipercayai dirempuh sebuah van di hadapan pagar sekolah rendah di Parit Sulong, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan di kawasan sekolah.

BBerkaitan

Latest articles