KUALA LUMPUR: Dua individu maut dalam satu kemalangan tragis dipercayai melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Ampang, berhampiran Menara Great Eastern, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.34 pagi itu, motosikal dinaiki pasangan suami isteri dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai hilang kawalan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, mangsa lelaki berusia 61 tahun dan isterinya, 56 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut beliau, pemandu kereta berusia 24 tahun turut cedera dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur, manakala seorang penumpang hadapan berusia 23 tahun mengalami kecederaan kepala dan masih menerima rawatan.
“Seorang lagi penumpang belakang hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan pulang sebelum tampil membantu siasatan,” katanya.
Siasatan awal mendapati kesemua individu dalam kereta tersebut adalah rakan, dan pihak polis telah mengambil sampel darah serta air kencing pemandu bagi mengesan kandungan alkohol atau bahan terlarang.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.










