178 Aktivis GSF Diserang Israel Akan Dihantar Pulang Negara Masing-masing

ATHENS: Aktivis daripada flotila bantuan kemanusiaan yang menuju ke Gaza dan diserang oleh Israel minggu ini sedang dipindahkan ke sebuah lapangan terbang di Crete untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan pada Jumaat.

Seramai 178 aktivis dari pelbagai negara, termasuk Greece, telah dibawa ke perkampungan Atherinolakkos di Lasithi, timur Crete, sebelum mereka akan dibawa dengan bas ke Lapangan Terbang Heraklion, lapor penyiar SKAI dengan memetik sumber tempatan.

Dari lapangan terbang itu, para aktivis akan dihantar pulang ke negara masing-masing, tambah laporan itu.

Flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud telah diserang pada Khamis berhampiran pulau Greece itu, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka, iaitu wilayah Gaza yang terjejas akibat sekatan.

Kapal pertama flotila tersebut yang membawa bantuan kemanusiaan telah berlayar dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama berlepas dari pulau Sicily di Itali pada 26 April, dengan tujuan untuk memecahkan sekatan Israel yang telah berlarutan selama bertahun-tahun ke atas Gaza.

Israel telah mengenakan sekatan ketat ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan 2.4 juta penduduk wilayah itu berada di ambang kebuluran.

Tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza pada Oktober 2023 yang berlanjutan selama dua tahun, mengorbankan lebih 72,000 orang, mencederakan lebih 172,000 dan menyebabkan kemusnahan besar di seluruh wilayah yang dikepung itu. — BERNAMA-ANADOLU

BBerkaitan

Latest articles