Biar Parti Buat Keputusan Sama Ada Di Sungai Buloh Atau Sebaliknya – KJ

KUALA LUMPUR: Nama Khairy Jamaluddin kembali mencuri perhatian apabila beliau memberi bayangan tidak menolak kemungkinan bertanding semula di Parlimen Sungai Buloh, namun menegaskan keputusan muktamad masih bergantung kepada kepimpinan tertinggi UMNO.

Bekas Menteri Kesihatan itu menjelaskan, kunjungannya ke Sungai Buloh baru-baru ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya berkait rapat dengan perjalanan politiknya yang terhenti di situ sebelum ini.

“Saya tidak mahu mendahului pucuk pimpinan. Kehadiran saya di Sungai Buloh kerana itu kawasan terakhir saya sebelum dipecat,” katanya ketika menghadiri program Meet & Greet Pemuda UMNO bersama ahli baharu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Khairy pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal bermula 2008 sebelum dipindahkan ke Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Namun, beliau tewas kepada calon Pakatan Harapan, Datuk Seri RRamanan.

Selepas kekalahan tersebut, Khairy berdepan tindakan pemecatan pada 2023 susulan kritikan terbukanya terhadap parti sepanjang tempoh kempen.

Bagaimanapun, perubahan angin dalam UMNO membuka ruang baharu apabila Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memperkenalkan pendekatan ‘Rumah Bangsa’ bagi membawa pulang bekas ahli. Khairy antara individu terawal yang mengemukakan rayuan untuk kembali.

Keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 19 April lalu menyaksikan ribuan bekas ahli diterima semula, termasuk tokoh berprofil tinggi seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar.

Sejurus kembali ke dalam parti, Khairy dilihat pantas menggerakkan langkah apabila bertemu kepimpinan UMNO Sungai Buloh yang diketuai Megat Firdouz Megat Junid.

BBerkaitan

Latest articles