KUALA LUMPUR, UMNO menegaskan bahawa setiap penganjuran program hiburan di negara ini perlu mematuhi prinsip yang jelas serta tidak mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama dan norma masyarakat tempatan.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mengambil serius pandangan yang dikemukakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu penganjuran program tertentu.
Menurut beliau, pandangan kedua-dua institusi itu wajar dihormati kerana mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia terhadap aspek sensitiviti agama dan nilai masyarakat.
“Sehubungan itu, kami telah meminta supaya program seumpama ini diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, garis panduan sedia ada juga perlu diperkemas dan diperketatkan bagi memastikan setiap penganjuran program selari dengan nilai budaya, agama serta identiti negara.
Dalam masa sama, Zahid menegaskan bahawa pendekatan seimbang perlu diambil dalam menangani isu berkenaan.
“Prinsip kita jelas , berhibur tidak salah, tetapi mesti ada batas. Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat,” katanya.
Beliau turut menggesa penganjur program agar berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan sebelum melaksanakan sebarang acara, bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Ini adalah pendirian UMNO,” tegasnya.










