KUALA LUMPUR: Kenyataan mengenai keperluan calon Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan restu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mengundang reaksi apabila disifatkan sebagai tidak selari dengan amalan sebenar pemilihan badan induk itu.
Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menyifatkan pandangan yang dilontarkan bekas pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebagai agak janggal, memandangkan pemilihan presiden sepatutnya diputuskan oleh wakil-wakil ahli gabungan FAM.
Menurut beliau, proses demokrasi dalam FAM memberi kuasa sepenuhnya kepada ahli gabungan untuk menentukan kepimpinan, bukan bergantung kepada restu mana-mana individu.
“Nampaknya suasana pemilihan Exco FAM sudah mula terasa. Kenyataan tersebut agak pelik kerana keputusan memilih presiden baharu adalah hak semua ahli gabungan,” katanya.
Ab Ghani turut berpendapat kenyataan itu mungkin membawa mesej tertentu atau cuba membentuk persepsi bahawa individu tertentu telah mendapat sokongan awal, namun beliau tidak percaya perkara tersebut benar-benar wujud.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pandangan Yusoff itu adalah bersifat peribadi dan tidak mencerminkan keadaan semasa dalam FAM yang ketika ini masih belum mempunyai lantikan Ahli Jawatankuasa Eksekutif.
Mengulas lanjut, Ab Ghani menekankan bahawa bola sepak negara memerlukan seorang presiden yang mampu bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem sukan itu, termasuk peranan penting Tunku Mahkota Ismail yang menerajui salah satu kelab utama tanah air.
Terdahulu, Mohd Yusoff dilaporkan menyatakan bahawa calon Presiden FAM perlu mendapat sokongan Tunku Mahkota Ismail, sambil menegaskan jawatan tersebut bukan sekadar simbolik, sebaliknya amanah besar yang memerlukan komitmen tinggi.
Beliau turut menegaskan individu yang ingin memegang jawatan itu perlu tampil dengan perancangan jelas, hala tuju tersusun serta pemahaman mendalam terhadap landskap bola sepak tempatan, dan bukannya sekadar mencuba nasib.










