KP JUPEM Didakwa Salah Guna Jawatan, Nafi Terima Suapan Lebih RM136,000

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Datuk Hazri Hassan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah keseluruhan RM136,115.

Pengakuan itu dibuat oleh Hazri, 57, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Beliau kemudiannya memohon untuk kes tersebut dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, Hazri didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Lembaga Juruukur Tanah Malaysia (LJT) untuk meluluskan penggunaan dana lembaga berjumlah RM30,201 bagi kepentingan peribadi.

Perbuatan itu didakwa berlaku ketika beliau mempengerusikan mesyuarat LJT pada 3 Ogos 2024 di Wisma LJT, Pusat Bandar Melawati.

Mesyuarat tersebut antara lain membincangkan penyertaan beliau dalam Sesi ke-14 Jawatankuasa Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pengurusan Maklumat Geospatial Global (UN-GGIM) yang berlangsung di New York, Amerika Syarikat dari 4 hingga 9 Ogos 2024.

Bagi pertuduhan kedua pula, Hazri didakwa melakukan kesalahan sama dengan melibatkan dana LJT berjumlah RM105,914. Kesalahan itu dikatakan berlaku dalam satu lagi mesyuarat LJT pada 31 Disember 2024 di sebuah hotel di ibu negara.

Mesyuarat tersebut turut menyentuh penyertaan beliau dalam beberapa pertemuan antarabangsa termasuk Mesyuarat Plenary ke-5 Kumpulan Peringkat Tinggi Rangka Kerja Maklumat Geospatial Bersepadu serta Mesyuarat Biro dan Biro Perluasan Jawatankuasa Pakar yang berlangsung di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi antara 29 Januari hingga 4 Februari 2025.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Hazri diikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin. Hakim turut memerintahkan jumlah tersebut dibayar secara berperingkat iaitu RM50,000 hari ini dan baki RM20,000 pada Jumaat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju dengan jumlah jaminan tersebut.

Peguam bela Muhammad Amin Othman bersama Amirah Batrisyia Adam Khan kemudian memohon agar bayaran dibuat secara dua peringkat, yang tidak dibantah pihak pendakwaan.

Mahkamah turut mengarahkan pasport tertuduh diserahkan sehingga kes selesai. Tarikh 4 Jun depan ditetapkan bagi sebutan kes dan penyerahan dokumen berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles