Kerajaan Suntik RM10 Bil Dana Sokongan Bantu PKS, Golongan Rentan Hadapi Krisis Tenaga

KUALA LUMPUR: Kerajaan meningkatkan komitmen dalam menangani impak krisis tenaga global apabila menambah lagi RM5 bilion kemudahan pembiayaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada RM10 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan bank pusat itu mempercepatkan pelaksanaan tambahan dana berkenaan, dengan perincian lanjut akan diumumkan oleh Gabenor BNM dalam masa terdekat.

Menurutnya, suntikan baharu itu bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan membantu syarikat yang memerlukan sokongan kewangan, khususnya dalam suasana kos operasi yang semakin meningkat.

Beliau menegaskan, manfaat kemudahan tersebut tidak harus terhad kepada syarikat besar semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi perusahaan kecil termasuk golongan usahawan mikro, petani, pekebun kecil, nelayan serta peniaga warung dan restoran.

“Golongan usahawan kecil ini melibatkan sebahagian besar rakyat dan mereka tidak boleh dipinggirkan daripada akses kepada bantuan,” katanya pada sidang media selepas sesi meja bulat bersama institusi kewangan hari ini.

Turut hadir, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan kerajaan akan memperkenalkan langkah tambahan dalam masa terdekat bagi membantu kumpulan yang berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan, termasuk graduan menganggur dan lepasan diploma.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sehingga RM5 bilion melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.

Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, sektor utama yang diberi keutamaan termasuk pembinaan, pertanian dan agrimakanan, logistik serta pelancongan.

Selain itu, kerajaan turut memberikan kelonggaran kepada pelaksanaan e-invois dengan melanjutkan tempoh peralihan fasa 4 selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2027 bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.

Dalam tempoh tersebut, syarikat dibenarkan mengeluarkan e-invois secara terkumpul tanpa dikenakan penalti.

Kerajaan juga mempertimbangkan pengecualian sementara duti import dan cukai jualan ke atas barangan buatan Malaysia yang diimport semula berikutan kegagalan melengkapkan eksport akibat gangguan konflik, berkuat kuasa sehingga hujung tahun ini.

Langkah-langkah tersebut, menurut kementerian, adalah hasil sesi libat urus berterusan antara kerajaan dan pemain industri bagi memahami cabaran sebenar yang dihadapi perniagaan, khususnya dari segi peningkatan kos operasi dan gangguan rantaian bekalan.

BBerkaitan

Latest articles