JEMPOL – Lebih 5,000 penduduk sekitar Felda Palong, Serting dan Jempol hadir memeriahkan Kenduri Rakyat sempena Aidilfitri 2026 yang berlangsung di Padang Awam Astaka Felda Palong 4, 5 dan 6 hari ini.
Program itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan kaum, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam komuniti Felda.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Dato Mustapha Nagoor berkata, kenduri rakyat bukan sekadar jamuan Aidilfitri, tetapi platform memperkukuh hubungan masyarakat.
“Kehadiran pelbagai kaum duduk semeja, berkongsi juadah dan beramah mesra menunjukkan kekuatan sebenar masyarakat kita,” katanya.
Turut berlangsung ialah penyampaian sumbangan kepada 100 bakal jemaah haji dari daerah Jempol dan Serting sebagai tanda sokongan dan doa daripada komuniti setempat.
Program itu turut diserikan dengan aktiviti gotong-royong atau ‘merewang’ yang menjadi tradisi masyarakat Felda dalam menyediakan juadah secara bersama.










