KUALA LUMPUR,— Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar agar kuota petrol RON95 mereka dikekalkan pada paras 300 liter sebulan, berbanding 200 liter yang ditetapkan ketika ini di bawah inisiatif subsidi bersasar.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, GKMM berkata pihaknya memahami cabaran krisis tenaga global yang masih berlarutan susulan ketegangan di Asia Barat, serta menghargai usaha kerajaan dalam menyalurkan subsidi bahan api secara bersasar kepada rakyat.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan inisiatif seperti BUDI RON95 dengan kuota 200 liter sebulan, harga diesel RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan, serta bantuan melalui BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.
Namun begitu, pengurangan kuota RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan dilihat memberi kesan besar kepada pengamal media, khususnya mereka yang bertugas di negeri-negeri dan perlu melakukan perjalanan jauh serta berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.
“GKMM menerima banyak keluhan daripada pengamal media yang mendapati kuota 200 liter tidak mencukupi dan habis lebih awal sebelum tempoh akhir bulan, sekali gus menjejaskan kelancaran tugas di lapangan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, GKMM mencadangkan agar kerajaan memberikan pengecualian khas kepada golongan pengamal media termasuk wartawan, jurugambar dan juruvideo berdaftar untuk terus menikmati kuota 300 liter seperti sebelum ini.
Tambah kenyataan itu, langkah berkenaan bukan sahaja membantu memastikan kelancaran tugasan liputan, malah dapat mengurangkan beban kos operasi yang semakin meningkat dalam situasi ekonomi semasa.
Kenyataan bersama itu turut disokong pelbagai organisasi media termasuk Kelab Media Johor, Kelab Media Putrajaya, Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor (KamiKLS), Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Persatuan Wartawan Perlis (PWP), Kelab Media Perak (KMP), Sabah Journalist Association (SJA), Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA), Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) serta Kelab Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).










