KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya segera menilai semula tindakan menyekat pergerakan kapal di Selat Hormuz, sambil memberi amaran langkah itu berpotensi mencetuskan krisis bekalan tenaga dan menggugat ekonomi dunia.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, sekatan tersebut boleh melumpuhkan laluan utama perdagangan antarabangsa, khususnya bagi penghantaran minyak dan baja yang kritikal kepada banyak negara.
Menurut beliau, tindakan itu menimbulkan persoalan serius memandangkan Iran sebelum ini dilaporkan bersedia membuka laluan di selat strategik berkenaan dengan syarat tertentu.
“Saya tidak faham tujuan Amerika mengepung Selat Hormuz. Sebelum ini mereka mengajak negara Eropah bekerjasama membuka laluan itu, namun kini mengambil langkah sebaliknya.
“Tindakan ini hanya akan memburukkan keadaan global, bukan sahaja dari sudut tenaga tetapi juga bekalan baja,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program di Rembau.
Beliau menegaskan, Malaysia berharap sebarang bentuk sekatan dapat ditarik balik segera bagi memastikan aliran perdagangan di Selat Hormuz kembali normal tanpa gangguan.
Tegasnya, situasi semasa bukan sahaja memberi kesan kepada negara pengeluar dan pengguna tenaga, malah turut menjejaskan rantaian bekalan global yang bergantung kepada laluan tersebut.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Donald Trump mengarahkan Tentera Laut AS melaksanakan sekatan di Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan damai dengan Iran, sekali gus meningkatkan ketegangan geopolitik di rantau itu.
Dalam perkembangan sama, Mohamad memaklumkan bahawa semua kapal di laluan berkenaan kini tidak dapat bergerak, termasuk enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas.
Beliau menekankan bahawa semua pihak perlu kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan krisis yang lebih besar.
“Dunia tidak seharusnya menjadi mangsa kepada konflik yang tidak membawa manfaat. Saya menyeru Amerika Syarikat supaya berfikir semula kerana implikasinya amat besar terhadap ekonomi global, termasuk sektor tenaga dan pertanian,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa Iran agar terus memberi kerjasama dengan membenarkan kapal melalui Selat Hormuz demi kepentingan bersama dan kestabilan sejagat.










