Penuntut IPT Ditahan Kes Tikam Wanita, Mangsa Kritikal

SEPANG: Seorang penuntut universiti swasta diberkas polis selepas disyaki menikam seorang wanita dalam kejadian di sebuah kediaman di Bandar Sunsuria, kelmarin.

Ketua Polis Sepang, Norhizam Bahaman berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan pada hari sama susulan laporan yang diterima pihak polis.

Mangsa berusia 34 tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal namun stabil dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua individu tidak mempunyai sebarang hubungan, manakala suspek dipercayai baru menyewa bilik Airbnb di kediaman berkenaan.

Ujian air kencing ke atas suspek juga didapati negatif selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek kini direman selama tujuh hari hingga 16 April bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes supaya tampil membantu dengan menghubungi pegawai penyiasat atau balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles