KUALA LUMPUR: Mahkamah hari ini diberitahu bahawa satu rakaman audio yang dikemukakan sebagai bukti mengandungi perbincangan terperinci berkaitan urus niaga saham, termasuk rujukan kepada kaedah penentuan harga pasaran.
Saksi, Eddie Ng Shee Siong, mengesahkan bahawa rakaman tersebut memaparkan sekurang-kurangnya tiga suara. Dua daripadanya dikenal pasti sebagai individu yang terlibat dalam kes, iaitu Ng Shih Fang dan Ng Shih Chiow, manakala seorang lagi, Steven Ng Chee Keong, dipercayai sebagai pihak ketiga yang memainkan peranan penting dalam perbualan tersebut.
Menurut saksi, kandungan rakaman itu secara jelas menyentuh aktiviti pembelian dan penjualan saham, termasuk penggunaan konsep Volume Weighted Average Price (VWAP), iaitu kaedah lazim dalam pasaran untuk menentukan harga purata dagangan berdasarkan volum.
“Saya boleh dengar mereka bercakap mengenai jual beli saham dan VWAP,” kata beliau ketika menjawab soalan peguam, Datuk Amer Hamzah.
Bagaimanapun, sepanjang sesi soal balas, Eddie beberapa kali dilihat cuba mengelak daripada memberikan jawapan langsung, sebaliknya memberikan pandangan peribadi berdasarkan soalan yang diajukan.
Tindakan itu kemudian ditegur oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Muhammad Ali, yang meminta saksi menjawab secara terus.
“Jawab ya atau tidak… setuju atau tidak setuju. Jika mahu memberi penjelasan lanjut, boleh dilakukan semasa sesi soal balas oleh pihak pendakwaan,” katanya di mahkamah.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut dimaklumkan bahawa rakaman audio tersebut bukan sahaja menyentuh isu urus niaga saham, malah turut merujuk kepada perkara berkaitan Jawatankuasa Audit serta penetapan jadual tertentu, termasuk tarikh akhir penghantaran maklumat.
Turut dibentangkan ialah sepucuk surat bertarikh 29 Disember 2022 daripada Pengerusi Jawatankuasa Audit kepada seorang pengarah syarikat, yang meminta penjelasan berhubung isu tertentu dengan tarikh akhir maklum balas pada awal Januari 2023.
Namun begitu, Eddie tidak bersetuju dengan cadangan bahawa perbincangan dalam rakaman audio itu secara langsung merujuk kepada tarikh akhir yang dinyatakan dalam surat tersebut.
Perbicaraan turut menyentuh aspek tadbir urus korporat, termasuk kemungkinan wujud konflik kepentingan serta kesesuaian interaksi antara ahli lembaga pengarah dan pihak yang sedang disiasat.
Prosiding diteruskan dengan penelitian lanjut bagi menentukan kaitan antara perbincangan urus niaga saham dalam rakaman audio, dokumen rasmi, serta keputusan yang dibuat dalam mesyuarat lembaga pengarah syarikat berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Datuk Amer Hamzah turut membangkitkan mengenai individu dikenali sebagai Jo Anne Loo, yang didakwa mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Eddie Ng serta memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan bagi pihak Revenue Group Sdn Bhd.
Perkara itu dibangkitkan bagi mendapatkan pengesahan sama ada hubungan tersebut pernah diisytiharkan dalam konteks tadbir urus korporat, namun Eddie tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.
hakim Rosli Ahmad Menangguhkan Kes dan disambung petang ini










