BENTONG: Misteri kehilangan enam sekeluarga termasuk empat kanak-kanak sejak kelmarin akhirnya terungkai apabila kesemua mereka ditemukan dalam keadaan selamat, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, kesemua individu terbabit tampil sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 9.30 malam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan suami isteri, menyebabkan si isteri bertindak keluar dari rumah bersama anak-anak tanpa memaklumkan kepada suaminya.
“Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai khususnya penduduk setempat yang membantu menyalurkan maklumat sehingga keluarga berkenaan berjaya dikesan.
Sebelum ini, polis melancarkan usaha mengesan enam individu terbabit selepas dilaporkan hilang dari kediaman mereka di Taman Orkid sejak 30 Mac lalu.
Laporan polis dibuat oleh suami yang juga bapa kepada kanak-kanak berkenaan selepas mendapati ahli keluarganya tiada di rumah sekitar jam 6.30 pagi pada hari kejadian.










