Ekonomi Malaysia Kekal Stabil, Catat Pertumbuhan 5.2%

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara terus membuktikan ketahanannya apabila mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.2 peratus sepanjang tahun lalu, walaupun dunia berdepan tekanan ekonomi global yang tidak menentu.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, menjelaskan kestabilan keadaan ekonomi domestik termasuk aspek monetari dan kewangan menjadi faktor utama yang membantu Malaysia menyerap kesan kejutan dari luar.

Menurut beliau, asas ekonomi yang kukuh serta dasar yang berdaya tahan bukan sahaja melindungi negara daripada risiko global, malah membuka ruang untuk pelaksanaan reformasi penting.

“Kita perlu terus memperkukuh asas ekonomi dan memperluas penampan dasar supaya Malaysia lebih bersedia menghadapi cabaran semasa dan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat media sempena penerbitan beberapa laporan utama BNM termasuk Laporan Tahunan 2025 dan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed memaklumkan Malaysia memasuki tahun 2026 dengan kedudukan ekonomi yang lebih stabil dan berdaya saing.

Ini disokong oleh pelbagai pemacu pertumbuhan, kekuatan sektor luaran serta kedudukan kewangan isi rumah dan syarikat yang sihat.

Tambah beliau, sektor kewangan negara yang mantap turut memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan ekonomi, selain ruang dasar makroekonomi yang mencukupi melibatkan polisi monetari dan fiskal.

Seiring dengan faktor-faktor tersebut, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar antara empat hingga lima peratus pada tahun 2026.

Dalam masa sama, perbelanjaan isi rumah kekal sebagai nadi utama pertumbuhan ekonomi, didorong oleh peningkatan pendapatan rakyat serta prospek kewangan yang semakin positif.

BBerkaitan

Latest articles