Ramanan Tunai Janji PRU15, Salur Hampir RM800,000 Kepada Rakyat Sungai Buloh

SUNGAI BULOH: Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan, menyalurkan hampir RM800,000 daripada gaji serta elaun peribadinya kepada masyarakat berbilang kaum di kawasan Parlimen Sungai Buloh sejak 2023.

Beliau berkata, bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM65,200 telah diagihkan kepada pelbagai rumah ibadat termasuk masjid, surau, tokong, kuil dan gereja, selain sumbangan infaq khas sempena bulan Ramadan.

Menurutnya, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen yang dibuat ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15, di mana beliau berjanji untuk memulangkan keseluruhan pendapatannya sebagai wakil rakyat kepada komuniti tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Ini bukan soal nilai semata-mata, tetapi amanah yang perlu dilaksanakan secara konsisten. Apa yang dijanjikan harus diterjemahkan melalui tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan yang juga Naib Presiden PKR turut menggerakkan pelbagai inisiatif kebajikan sepanjang Ramadan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan.

Antara program yang dilaksanakan termasuk pengagihan 10,000 bungkus bubur lambuk di seluruh kawasan Parlimen serta sumbangan 3,350 bakul makanan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.

Beliau menegaskan, kesejahteraan masyarakat hanya dapat dicapai melalui nilai empati dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan semua pihak.

BBerkaitan

Latest articles