MUIP Sahkan Tiada Rekod Pengislaman Vikneswaran

KUANTAN: Status agama seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang kini berdepan pertuduhan mahkamah terus menjadi tanda tanya apabila Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesahkan tidak menemui sebarang rekod pengislaman atas namanya di negeri ini.

Ketua Pendaftar Mualaf Pahang, Dr Asmadi Abdul Rahman memaklumkan semakan terperinci dalam pangkalan data MUIP mendapati nama Vikneswaran a/l K. Selvanathan tidak pernah didaftarkan sebagai mualaf di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri tersebut.

Menurut beliau, semakan lanjut turut dibuat dengan beberapa jabatan agama di negeri lain bagi memastikan status sebenar individu terbabit.

Setakat ini, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur mengesahkan tiada rekod pengislaman atas nama penuntut berusia 21 tahun itu.

“Bagi negeri-negeri lain, kami masih menunggu maklum balas rasmi,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Dalam pada itu, Asmadi berkata pihaknya turut menghubungi pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung, susulan dakwaan bahawa lelaki berkenaan pernah melafazkan syahadah di hadapannya pada 25 April tahun lalu. Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang respons diterima daripada pendakwah terbabit.

Isu berkenaan mencetuskan perhatian ramai selepas dakwaan tersebut tular di media sosial, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan agama sebenar penuntut berkenaan.

Terdahulu pagi tadi, pelajar UMPSA itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan membabitkan perbuatan mencemar al-Quran dan memuat naik komunikasi jelik melampau menerusi media sosial.

Pada 25 Februari lalu, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki menghina Islam menerusi satu hantaran di laman sosial.

BBerkaitan

Latest articles