Hanafiah Tak Perlu Letak Jawatan, Kata Samsuri

KUALA LUMPUR: Walaupun sedang disiasat dan didakwa di mahkamah, Datuk Hanafiah Mat tidak diwajibkan melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menegaskan kedudukan Hanafiah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar tidak menjejaskan proses siasatan, pendakwaan mahupun perbicaraan yang sedang berjalan.

Beliau mengingatkan bahawa prinsip undang-undang perlu dihormati dimana seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum dibuktikan di mahkamah.

“Saya minta semua pihak tidak membuat spekulasi atau penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional berkata, kerajaan negeri komited mempertahankan integriti pentadbiran serta memberi ruang sepenuhnya kepada sistem perundangan menjalankan tanggungjawab secara profesional.

Terdahulu, Hanafiah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi kepentingan dua anak kandungnya.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa menggunakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk mendapatkan suapan bagi anaknya, Mohd Najmi Hanafiah.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan kesalahan sama untuk seorang lagi anaknya, Ahmad Kamil Hanafiah pada 18 Jun 2020 di lokasi yang sama.

Kes dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

BBerkaitan

Latest articles