Warga Emas Mengaku Rasul, Dakwa Bertemu Nabi Adam & Rasulullah Akhirnya Ditahan

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki warga emas yang dipercayai menyebarkan ajaran meragukan akhirnya membawa padah apabila dia ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Rawang, semalam.

Lelaki berusia 65 tahun itu bukan sahaja didakwa mengaku sebagai Rasul, malah turut mendakwa pernah bertemu Nabi Adam secara nyata pada waktu siang dan bertemu Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam.

Lebih mengejutkan, dia juga dikatakan memberitahu pengikutnya bahawa pertemuan dengan para Rasul berlaku dua hingga tiga kali setiap minggu.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memaklumkan, serbuan tersebut turut membawa kepada penahanan tiga lagi individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai berada di premis sama ketika operasi dijalankan.

Menurut siasatan awal, lelaki terbabit mendakwa pengalaman luar biasa itu berlaku sekitar dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara dalam negara.

Dakwaannya bukan sekadar cerita, malah dipercayai mempengaruhi pengikut sehingga ada yang menganggap segala tindakannya sebagai perintah Allah, termasuk tidak perlu menunaikan solat atau berpuasa sekiranya berasa letih atau uzur.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 atas kesalahan melakukan perbuatan bertentangan dengan hukum syarak serta mengisytiharkan diri sebagai Rasul dan mendakwa mengetahui perkara di luar batas pengetahuan manusia.

Tangkapan tersebut sekali gus menjawab aduan tular sejak 9 Februari lalu yang mendakwa seorang individu mengaku sebagai Rasul dan mempengaruhi sebuah keluarga.

Susulan itu, JAIS menggerakkan pasukan khas dari ibu pejabatnya untuk menjalankan siasatan terperinci sebelum berjaya menahan empat individu disyaki.

Kes kini dalam siasatan lanjut pihak berkuasa agama.

BBerkaitan

Latest articles