Hina, Ugut Kerabat Diraja Terengganu, Individu Dipanggil MCMC, Telefon Disita

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang individu memuat naik kandungan berbaur ancaman dan penghinaan melampau terhadap kerabat diraja Terengganu di platform X mengundang padah apabila dia kini disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menurut kenyataan MCMC, kandungan yang dimuat naik menerusi akaun peribadi individu berkenaan didapati menyentuh sensitiviti institusi diraja selain mengandungi elemen jelik serta ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian dan ketegangan awam.

Situasi itu juga dilihat boleh mengganggu ketenteraman negara jika tidak dibendung.

Bagi membantu siasatan, individu terbabit telah dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Lanchang pada 21 Februari 2026.

Dalam sesi rakaman percakapan tersebut, pihak berkuasa turut menyita sebuah telefon bimbit dan kad SIM untuk tujuan analisis forensik digital.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang melibatkan ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap institusi diraja.

Tindakan penguatkuasaan, tegasnya, akan dilaksanakan secara profesional dan tanpa pilih kasih.

Orang ramai turut diingatkan supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan platform digital dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik kandungan yang melanggar undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles