PASIR GUDANG: Tiada keperluan menubuhkan parti politik Melayu yang baharu ketika landskap politik sedia ada sudah cukup untuk menyatukan kekuatan, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurut beliau, cadangan menubuhkan parti baharu susulan kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mencerminkan kerapuhan parti tersebut yang masih baharu dan sedang berdepan perebutan jawatan.
Katanya, tumpuan sepatutnya diberikan kepada cabaran rakyat, bukannya konflik dalaman kepimpinan.
Beliau menegaskan orang Melayu perlu kembali berhimpun dalam satu wadah besar yang sudah tersedia, bukannya terus berpecah dengan penubuhan parti baharu.
Dalam masa sama, UMNO membuka pintu kepada mana-mana ahli Bersatu yang mahu kembali bersama parti itu demi memperkukuh kedudukan Melayu.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu dijangka menyertai ‘rumah baharu’ minggu depan.
Perkembangan itu dilihat memberi kesan kepada kestabilan Perikatan Nasional (PN).
Mengulas kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN), Khaled yang juga Menteri Pertahanan mengakui situasi semasa mungkin menguntungkan, namun keputusan tetap bergantung kepada pucuk pimpinan tertinggi.










