Muhyiddin Tubuh ‘Pasukan Khas’ Selamatkan Parti

KUALA LUMPUR: Pergolakan dalaman susulan tindakan beberapa bahagian dan sayap parti meletakkan jawatan mendorong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak pantas menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi menyusun semula struktur organisasi.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan langkah itu diambil bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan parti tidak terjejas, selain memperkukuh kepimpinan di peringkat bahagian dan sayap.

Menurut beliau, pasukan khas tersebut akan diterajui dua Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Radzi Jidin, manakala Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai sekretariat.

“Ketua-ketua badan pimpinan negeri telah diarahkan mengenal pasti bahagian yang terkesan. Penyusunan semula akan dibuat sama ada melalui pelantikan pemangku ketua bahagian atau penubuhan bahagian baharu mengikut peruntukan perlembagaan parti.

“Sayap-sayap yang terlibat juga akan distruktur semula sama ada melalui pemangkuan jawatan atau pembentukan jawatankuasa baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin menegaskan, Bersatu tidak ketandusan pelapis kepimpinan kerana setiap bahagian mempunyai barisan ahli aktif yang bersedia memikul tanggungjawab demi memperkukuhkan parti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan keyakinan bahawa majoriti ahli kekal setia kepada perjuangan Perikatan Nasional (PN).

Tambahnya, beliau dijadual menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN esok yang antara lain akan memutuskan pelantikan Pengerusi PN Nasional serta membincangkan langkah memperkasa gabungan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles