SPRM Tahan Pegawai Kanan NGO, Dana RM4.2 Juta Disyaki Disalahguna

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam misi kemanusiaan di Asia Barat selepas disyaki menyalahguna dana pertubuhan berjumlah kira-kira RM4.2 juta.

Individu lelaki berusia sekitar 40-an itu ditahan pada petang semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut sumber, lelaki berkenaan yang turut mengendalikan sebuah syarikat dalam industri makanan dipercayai melakukan perbuatan itu dalam tempoh antara 2022 hingga 2024.

Siasatan awal mendapati sejumlah besar dana NGO terbabit diluluskan dan dipindahkan ke dua buah syarikat lain atas alasan pelaburan, melibatkan jumlah keseluruhan sekitar RM4.2 juta.

“Pemeriksaan lanjut mendapati wujud individu dalam pengurusan pertubuhan yang dipercayai mempunyai kepentingan secara langsung dalam syarikat berkenaan,” katanya.

Tambah sumber itu, kes tersebut kini disiasat sebagai kemungkinan penyelewengan dana awam kerana NGO terbabit mengutip sumbangan daripada orang ramai bagi tujuan bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman suspek selama tiga hari sehingga Sabtu ini selepas prosiding di hadapan Majistret Ezrene Zakariah pagi tadi.

BBerkaitan

Latest articles