Malaysia Berhak Usir Mana-mana Individu Langgar Undang-undang, Tegas Fahmi

JEMPOL: Kerajaan Malaysia menyifatkan tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mengkritik pendirian negara berhubung cadangan mengusir rakyat Israel sebagai satu campur tangan terhadap urusan dalaman negara.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan wakil rakyat AS itu adalah biadab dan tidak menghormati kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang mempunyai hak menentukan dasar imigresennya sendiri.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan menyampaikan pendirian rasmi kepada Kedutaan AS supaya tidak mencampuri urusan dalaman negara, termasuk berkaitan penguatkuasaan undang-undang imigresen.

“Malaysia mempunyai hak dan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar syarat atau undang-undang, termasuk mengusir mereka keluar dari negara ini.

“Jangan cuba campuri urusan dalaman Malaysia. Itu bukan sesuatu yang boleh diterima dan kita akan pastikan pendirian ini dimaklumkan kepada Kedutaan AS,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi latihan kompang dan permainan gasing di FELDA Kepis bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Alimin.

Sebelum ini, media melaporkan lapan Ahli Kongres daripada Parti Demokrat menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rakyat Israel di Malaysia diusir dengan segera.

Mereka ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Mengulas isu berkaitan, Fahmi berkata Kabinet turut mengekalkan pendirian tegas berhubung dakwaan kewujudan individu yang mempunyai kaitan dengan Israel di Network School, Forest City.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa siasatan terhadap 11 individu yang dipercayai memiliki dua kerakyatan masih diteruskan.

Menurutnya, setakat ini Jabatan Imigresen dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) belum mengesan sebarang kesalahan, namun siasatan masih berjalan.

Fahmi turut memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan terhadap 266 individu oleh Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa mendapati tiada seorang pun merupakan warganegara Israel.

BBerkaitan

Latest articles