Jangan Terjebak Provokasi Media Sosial – Dr Sathia

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Pilihan Raya Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan, menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak membiarkan media sosial menjadi platform yang mencetuskan perpecahan, khususnya melalui perbalahan yang menyentuh isu perkauman dan keagamaan.

Menurut beliau, dalam era digital hari ini, masyarakat mudah terpengaruh dengan mesej, video dan hantaran yang bersifat provokatif sehingga mencetuskan kemarahan, kekecewaan dan salah faham antara satu sama lain.

Hakikatnya, kata beliau, sebahagian besar kandungan tersebut tidak bertujuan membina keharmonian, sebaliknya dicipta demi perhatian, populariti atau kepentingan politik sempit.

“Pilihan seseorang terhadap agama atau kepercayaan adalah hak peribadi yang wajib dihormati. Tiada satu pun agama yang mengajar penganutnya untuk menghina atau memburukkan orang lain,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ketua cabang Hulu Selangor turut mengingatkan bahawa Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding banyak negara lain hasil kestabilan dan perpaduan masyarakat majmuk.

Justeru, katanya, perpaduan perlu terus dipelihara sebagai kunci kepada kemajuan negara.

Sathia turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap kandungan media sosial yang menyentuh emosi, kerana ia sering mempunyai agenda tersembunyi untuk mengalih perhatian daripada isu sebenar atau mencetuskan perbalahan sesama rakyat.

“Jangan biarkan diri kita terperangkap dalam drama media sosial yang sengaja dicipta. Gunakan platform ini untuk belajar, berkongsi ilmu dan membina masyarakat yang lebih harmoni,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat Malaysia agar mengutamakan empati, menghormati perbezaan dan bersama-sama membina sebuah negara yang bersatu, saling menghormati serta bersedia menghadapi cabaran masa depan demi kesejahteraan generasi akan datang.

BBerkaitan

Latest articles