Nie Ching Luah Kesal Tak Sempat Iktiraf UEC Ketika Jadi Timb Menteri Pendidikan

KUALA LUMPUR: Teo Nie Ching mengakui kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) antara 2018 hingga 2020 sebagai satu penyesalan ketika beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pendidikan.

Menurut Naib Pengerusi DAP itu, walaupun pelaksanaan pengiktirafan UEC berdepan pelbagai halangan di luar bidang kawalannya, beliau tidak pernah menafikan kekurangan sepanjang tempoh tersebut.

Malah, katanya, beliau telah tampil memohon maaf kepada para penyokong pada tahun 2020 susulan ketidakmampuan merealisasikan janji pengiktirafan UEC dalam tempoh setahun seperti yang pernah dinyatakan.

Kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Komunikasi, Teo menegaskan pendirian beliau mengenai UEC kekal konsisten sejak awal dan tidak pernah berubah, dengan keyakinan bahawa pengiktirafan sijil berkenaan memberi nilai tambah kepada negara.

Beliau berkata, langkah mengiktiraf UEC bukan sahaja tidak menjejaskan identiti kebangsaan, malah berupaya memperkukuh landskap pendidikan, merancakkan pembangunan bakat serta menzahirkan komitmen dasar yang pernah digariskan dalam manifesto pelbagai gabungan politik, termasuk Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap kritikan bekas pengerusi pasukan petugas UEC, Eddin Khoo, yang menuduh beliau memperalatkan isu berkenaan demi kepentingan politik.

Eddin turut mendakwa Teo menyampaikan mesej berbeza kepada media berbahasa Cina dan bukan Cina ketika menyandang jawatan dalam Kementerian Pendidikan.

Menepis dakwaan tersebut, Teo menegaskan beliau tidak pernah bersikap provokatif atau menukar prinsip mengikut audiens sebaliknya kekal berpegang kepada pendirian mengiktiraf UEC sebagai langkah yang wajar untuk Malaysia.

Beliau turut menyifatkan tuduhan kononnya beliau tidak serius mencari penyelesaian berhubung isu UEC sebagai tidak berasas.

“Saya tidak menyesal kerana mempertahankan pendirian ini. Pengiktirafan UEC adalah arah dasar yang betul dan saya kekal yakin dengannya. Malaysia akan menjadi lebih kuat apabila semua aliran pendidikan yang menyumbang kepada pembinaan negara dihargai,” katanya.

Dalam pada itu, Teo mengingatkan agar perbahasan mengenai UEC dilakukan secara berfakta dan rasional, bukannya bersandarkan tuduhan, sindiran atau persepsi negatif.

BBerkaitan

Latest articles