SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai ditinggalkan hampir sembilan jam di dalam sebuah kereta yang diparkir berhampiran sebuah bank di Jalan Tunku Hassan, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 6.15 petang daripada orang awam yang memaklumkan penemuan seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri di dalam sebuah Proton Saga berwarna putih.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan di dalam kenderaan tersebut seawal jam 8 pagi, selepas ibunya terlupa menghantarnya ke rumah pengasuh sebelum masuk bekerja.
Keadaan itu hanya disedari kira-kira jam 5 petang apabila wanita berkenaan selesai waktu bekerja dan kembali ke kenderaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) sebelum dibawa ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, manakala maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pekerja kedai pakaian berhampiran berkata dia terdengar jeritan seorang wanita dari belakang premis sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan ada kanak-kanak tidak sedarkan diri di dalam kereta. Ada juga yang memaklumkan ibu kanak-kanak itu bekerja di sebuah bank dan dipercayai terlupa anaknya berada di dalam kenderaan,” katanya.










