Zambry: MIC Masih Kekal Bersama BN, Tiada Makluman Rasmi Keluar Gabungan

KOTA KINABALU: MIC masih merupakan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi kononnya MIC akan meninggalkan BN, malah hubungan antara kepimpinan tertinggi parti komponen kekal utuh dan baik.

“Saya yakin MIC masih tetap bersama BN sehingga kini. Kita tidak ada isu yang berbangkit berkaitan masalah itu dan tidak dibincangkan pun (dalam mesyuarat).
“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa, sebarang laporan yang mengatakan mereka keluar ataupun tidak, kita tidak mengambil itu sebagai sumber sahih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sertan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon.

Mengulas mengenai ketidakhadiran wakil MIC pada mesyuarat itu, Zambry berkata, ia disebabkan faktor kekangan masa.

“BN sentiasa bersangka baik, kita bekerjasama dan mungkin ada spekulasi-spekulasi yang dibuat, itu kita anggap hanya sebagai satu spekulasi,” katanya. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles