KUALA LUMPUR: Suami kepada pelakon Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, berlepas ke Jeddah hari ini bagi menguruskan jenazah Allahyarhamah yang meninggal dunia di sana.
Beliau berkata, penerbangan bersama anak perempuannya dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.35 petang.
Menurutnya, berita kematian isterinya dimaklumkan oleh Wisma Putra malam tadi dan butiran lanjut akan dikeluarkan oleh kementerian itu melalui kenyataan rasmi.
Muhammad Kamarul turut memaklumkan jenazah tidak akan dibawa pulang ke Malaysia sebaliknya dikebumikan di Arab Saudi, selaras dengan hasrat arwah yang sering menyatakan keinginan untuk ke Mekah.
Sebelum ini, kehilangan Nadia Kesuma selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 14 Januari lalu mencetuskan kebimbangan, sebelum disahkan beliau meninggal dunia akibat sakit jantung pada 15 Januari jam 8.07 pagi waktu tempatan.
Arwah yang pernah membintangi filem Syaitan Munafik dan Kudeta dilaporkan hilang beberapa hari sebelum kematiannya, sehingga suaminya merayu kerajaan Malaysia menggerakkan usaha diplomatik bagi membantu pencarian.










