KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi menangguhkan selama lima hari prosiding perbicaraan saman fitnah yang difailkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memberi ruang kepada bekas perdana menteri itu pulih daripada kecederaan akibat terjatuh di kediamannya minggu lalu.
Peguam Dr Mahathir, Rafique Rashid Ali, memaklumkan bahawa Hakim Donald Joseph Franklin membatalkan sesi perbicaraan yang dijadualkan berlangsung Selasa, Rabu dan pada 28, 29 Januari serta 9 Februari, selepas pengurusan kes bersama wakil kedua-dua pihak.
Dalam kes ini, Anwar diwakili peguam Alliff Benjamin Suhaimi, manakala Dr Mahathir, 100, sepatutnya meneruskan sesi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.
Menurut Rafique, beliau memohon penangguhan kerana anak guamnya memerlukan masa untuk kembali cergas sebelum hadir ke mahkamah.
Dr Mahathir dilaporkan terjatuh ketika bersenam di rumahnya pada 6 Januari lalu sehingga menyebabkan tulang pinggulnya retak.
Beliau kemudian dimasukkan ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut, namun tidak memerlukan pembedahan dan hanya menjalani fisioterapi.
Mahkamah turut menetapkan tarikh pengurusan kes baharu pada 17 Mac bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai tahap kesihatan Dr Mahathir.
Saman itu difailkan susulan kenyataan Anwar pada Mac 2023 ketika Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang didakwa menyebut bahawa ‘seseorang yang berkuasa selama 22 tahun dan 22 bulan’ telah memperkayakan diri, keluarga serta kroni, selain gagal membayar cukai dan memindahkan dana ke luar negara.
Dr Mahathir mendakwa kenyataan tersebut merujuk kepadanya dan bersifat memfitnah.
Bagaimanapun, Anwar menafikan dakwaan itu dan mengemukakan pembelaan berdasarkan justifikasi, komen adil serta keistimewaan bersyarat untuk menolak saman berkenaan.










