KUALA LUMPUR: PAS tidak pernah menyekat mana-mana pihak, sama ada agamawan mahupun bukan agamawan, daripada menyuarakan pandangan termasuk berkaitan perkembangan politik di Perlis.
Namun, Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi perlu disertai ilmu, kefahaman dan adab, bukan kenyataan melulu yang disifatkannya hanya memalukan diri sendiri.
Menerusi kenyataan Minda Presiden PAS yang dimuat naik di Facebook semalam, Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS berpegang kepada prinsip bahawa Islam dan politik tidak boleh dipisahkan, selaras dengan aqidah perjuangan serta termaktub dalam Perlembagaan parti.
Menurutnya, setiap langkah dan keputusan PAS dibuat berasaskan fiqh politik yang berpandukan al-Quran, al-Sunnah dan ijtihad ulama, selain mematuhi disiplin jemaah.
Abdul Hadi turut menegaskan, PAS melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar tanpa memilih sasaran dan tidak gentar berdepan tekanan, sama ada daripada pihak berkuasa mahupun hukuman rakyat melalui pilihan raya.
Katanya, Islam bukan sekadar mengatur ibadah ritual, sebaliknya merangkumi pemerintahan dan keadilan sosial yang saling berkait.
Dalam pada itu, beliau menekankan PAS berpolitik dengan ilmu dan kematangan, serta tidak mudah terganggu dengan kritikan pihak yang disifatkannya tidak memahami realiti politik Islam.
Abdul Hadi turut menegaskan keperluan ketaatan dan kesetiaan kepada kepimpinan jemaah dalam melaksanakan amanah politik, selagi tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
Menurutnya lagi, PAS telah membuktikan keupayaan mentadbir di negeri-negeri yang dikuasai dengan menegakkan kerajaan yang bersih, selain bersedia bekerjasama dan menerima pandangan membina secara matang dan berhikmah.










