KUALA LUMPUR: Tindakan Pas dalam menguruskan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis yang baharu didakwa terlalu tergesa-gesa, sekali gus mencetuskan krisis dalaman yang lebih rumit dalam Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar, berpandangan naratif Pas sebagai pihak yang dikhianati tidak sepenuhnya tepat, sebaliknya parti itu didakwa bertindak berdasarkan khabar angin semata-mata.
Menurut beliau, keputusan Pas memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) susulan dakwaan kewujudan Akuan Bersumpah (SD) tidak disokong sebarang pengesahan rasmi daripada pihak Istana.
Hisomudin menjelaskan, walaupun tersebar dakwaan lapan ADUN telah menandatangani SD, hakikatnya tiada sebarang titah rasmi dikeluarkan oleh Istana Perlis berhubung perkara tersebut, selain isu sebenar lebih berkait dengan peletakan jawatan Menteri Besar, Mohamad Syukri Ramli.
Mengulas tuduhan kononnya Bersatu merampas jawatan Menteri Besar Perlis, Hisomudin menyifatkannya sebagai tidak munasabah.
Katanya, Bersatu berada dalam keadaan serba salah demi menjaga hubungan dengan institusi diraja dan terpaksa mematuhi titah Istana apabila diminta mengemukakan nama calon Menteri Besar.
Beliau menegaskan, kegagalan mekanisme perbincangan dalam PN menyebabkan Pas dan Bersatu tidak mencapai kesepakatan, sekali gus mencetuskan konflik terbuka di Perlis.
Dalam pada itu, Hisomudin turut mengkritik pendirian Pas yang secara terbuka menolak sebarang pelantikan jawatan Exco di bawah kepimpinan Menteri Besar daripada Bersatu.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk keangkuhan politik dan isyarat penentangan terhadap keputusan yang telah diperkenankan Raja Perlis, selain mencerminkan kegagalan parti tersebut untuk melunakkan kepentingan sendiri demi menghormati institusi raja.
Mengulas hubungan Pas dan Bersatu, Hisomudin mendakwa krisis di Perlis menjadi bukti jelas bahawa ‘perkahwinan’ politik kedua-dua parti kini berada di tahap paling rapuh.
Menurutnya, kepentingan parti dilihat semakin mengatasi semangat setiakawan dalam PN, malah hubungan itu diibaratkan hanya menunggu masa untuk berakhir.
“Retak menanti belah. Saya melihat hubungan Pas dan Bersatu kini berada di fasa paling kritikal dan hanya menunggu titik pemisah,” katanya.










