KUALA LUMPUR: Bekas ketua setiausaha sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad memberi peringatan agar PAS tidak terlalu yakin mampu bergerak sendirian tanpa sokongan rakan gabungan, sambil mengingatkan parti itu pernah melalui kitaran kemenangan dan kejatuhan yang sama sebelum ini.
Beliau merujuk kejayaan besar PAS pada PRU 1999 yang didorong gelombang penolakan orang Melayu terhadap Barisan Nasional susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun menegaskan lonjakan itu berlaku hasil kerjasama politik, bukan kekuatan solo.
Menurut Marzuki, penyertaan PAS dalam Barisan Alternatif bersama Parti Keadilan Nasional (kini PKR) dan DAP ketika itu membuka ruang sokongan baharu, termasuk di negeri Pantai Barat, sekali gus mengubah imej PAS menjadi lebih inklusif.
Namun keterujaan tersebut berakhir apabila gabungan itu runtuh, menyebabkan PAS kehilangan Terengganu dan merosot teruk pada PRU 2004.
“Ini fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Mengulas situasi semasa, Marzuki berpandangan PAS kini seolah-olah mengulangi laluan sama selepas mencatat prestasi terbaik dalam PRU15 melalui Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin.
Beliau mempersoalkan tindakan pantas PAS mendesak jawatan pengerusi PN, selain memberi amaran bahawa tanpa sokongan bukan Melayu serta parti Sabah dan Sarawak, sasaran PN untuk menang PRU16 dilihat semakin kabur.
Marzuki turut mempersoalkan sama ada peletakan jawatan Muhyiddin benar-benar mengukuhkan PN, atau sebaliknya “membunuh angsa yang bertelur emas”.










