Agong Terima Mengadap Menteri Pertahanan, Dimaklumkan Perkembangan Terkini ATM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin dalam satu pertemuan di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Pertemuan tersebut diadakan bagi membolehkan baginda diberikan taklimat berkaitan hal ehwal dan perkembangan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda memperkenankan sesi pembentangan tersebut sebagai sebahagian daripada tanggungjawab memantau kesiapsiagaan dan tadbir urus institusi pertahanan negara.

Pertemuan itu turut mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap aspek keselamatan dan kepentingan strategik negara.

Dalam perkembangan berkaitan, media sebelum ini melaporkan bahawa seorang pegawai kanan Tentera Darat sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek perolehan Tentera Darat Malaysia.

Pegawai berkenaan dilaporkan sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 28 Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau dikhabarkan telah dikejarkan ke hospital pada tarikh sama sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), sekali gus menangguhkan proses siasatan.

BBerkaitan

Latest articles