ALOR SETAR: UMNO Kedah menegaskan bahawa sebarang cadangan kerjasama politik, termasuk idea menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN), tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan perlu dinilai dengan pertimbangan strategik demi kelangsungan parti serta perpaduan Melayu.
Pendirian itu disuarakan susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menurut UMNO negeri itu wajar diteliti secara mendalam.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, walaupun UMNO menyokong usaha memperkukuh ukhuwah dan memartabatkan kepentingan Melayu serta Islam, kenyataan Sanusi tidak boleh dilihat secara luaran semata-mata.
Menurutnya, nada yang dibawa lebih menyerupai cubaan mengambil kesempatan terhadap situasi politik semasa berbanding satu tawaran kerjasama yang ikhlas dan jelas antara parti.
Beliau menegaskan, setiap bentuk kerjasama politik perlu dinilai secara rasional dan objektif, bukannya dipengaruhi sentimen atau emosi sementara yang boleh mengundang ketidakstabilan jangka panjang.
Katanya, kepimpinan tertinggi UMNO diyakini mampu membuat penilaian terbaik, namun ahli parti juga perlu bersikap matang dan berfikir secara berdaya tahan dalam menilai sebarang cadangan pakatan politik.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy menekankan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu kekal sebagai gabungan inklusif yang selesa didampingi semua pihak serta terus berperanan sebagai asas perlindungan kepada masyarakat majmuk negara ini.
Beliau turut menegaskan, sekiranya wujud perbincangan untuk membentuk MN versi baharu, ia mesti bersifat menyeluruh, berpaksikan perpaduan Melayu tanpa menafikan hak kaum lain serta meraikan perbezaan pandangan secara sihat dan membina.










