KUALA LUMPUR: Isu titah adendum kembali mencetuskan perdebatan apabila Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa titah tersebut merupakan perkenan bertulis Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kedudukan sah sebagai Raja Pemerintah negara.
Menurut Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN), titah adendum tidak boleh disamakan dengan titah berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan sebelum ini yang bersifat saranan lisan semata-mata.
Sebaliknya, beliau menekankan bahawa titah berkenaan adalah perkenan “hitam putih” yang wajar dihormati dan dilaksanakan.
Beliau berpandangan, sekiranya wujud sebarang kecacatan dari sudut prosedur berkaitan titah adendum itu, kerajaan seharusnya bertindak menasihati serta memperbetulkannya, bukannya bersepakat untuk menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.
Sehubungan itu, Annuar menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk menerima apa sahaja yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang memerintah terhadap dirinya.
“Mengapa titah Yang di-Pertuan Agong dipersulitkan dan seolah-olah digagalkan? Sedangkan urusan kehakiman masih boleh dihormati dan pada masa yang sama hak seorang rakyat juga wajib dilindungi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Tambah beliau, sebarang kepincangan dalam pengurusan isu berkenaan perlu diperbetulkan agar tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi Raja dan keadilan negara.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib bagi menyemak titah adendum berkaitan tahanan rumah melibatkan sabitan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd., sekali gus mengekalkan hukuman penjara ke atas beliau di Penjara Kajang.










