Menteri Beri Amaran Isu Sampah Lepas Sambutan Krismas

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengeluarkan peringatan tegas kepada orang ramai supaya menghentikan sikap membuang sampah sesuka hati, sambil menegaskan perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan persekitaran malah menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Teguran keras itu dibuat susulan penularan video di media sosial yang memaparkan keadaan jalan raya dipenuhi sampah sarap selepas sambutan Krismas di sekitar Bukit Bintang, kawasan tumpuan pelancong di ibu negara.

Menurut Nga, tingkah laku tidak bertanggungjawab sedemikian amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat moden.

“Sudah abad ke-21, tiada alasan untuk sesiapa pun membuang sampah merata-rata di kawasan awam. Jangan salahkan kerajaan apabila tindakan penguatkuasaan diambil. Tolong bersikap matang,” tegas beliau menerusi hantaran di platform X.

Kenyataan itu turut menyusuli luahan rasa kecewa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memaklumkan bahawa sampah sarap dibuang secara berleluasa di beberapa lokasi sekitar Jalan Bukit Bintang sepanjang sambutan perayaan, sekali gus menjejaskan imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan utama.

DBKL memaklumkan kerja-kerja pembersihan giat dijalankan bagi memastikan kawasan pusat bandar kembali bersih, teratur dan selesa untuk penduduk serta pelancong.

Pihak berkuasa tempatan itu turut mengingatkan orang ramai agar terus memikul tanggungjawab menjaga kebersihan, walaupun sedang menikmati suasana perayaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Nga sebelum ini mengumumkan bahawa mulai 1 Januari depan, individu yang didapati bersalah membuang sampah merata-rata di tempat awam akan dikenakan hukuman perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan, sebagai langkah mendidik dan mendisiplinkan masyarakat terhadap kepentingan kebersihan awam.

BBerkaitan

Latest articles