PAS Desak Bersatu Bertindak Tegas, Isu SD ADUN Cetus Ketegangan Politik Perlis

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya mengambil pendirian tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang didakwa terlibat menandatangani akuan bersumpah (SD), sehingga mencetuskan ketidakharmonian dan menggugat kestabilan politik di Perlis.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan disiplin terhadap wakil rakyat terbabit amat penting sebagai manifestasi rasa hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN), selain memastikan keutuhan dan disiplin gabungan itu terus terpelihara.

Menurut beliau, langkah sedemikian wajar diambil dengan merujuk kepada precedent yang berlaku sebelum ini, khususnya kes di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Katanya, ketika itu Bersatu bertindak menghentikan keahlian ADUN Nenggiri kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun tanpa penglibatan sebarang SD, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Jika dibandingkan dengan situasi di Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius kerana ia memberi kesan langsung kepada keutuhan dan kestabilan kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tuan Ibrahim menegaskan, sebagai rakan dalam gabungan utama PN, PAS yakin Bersatu mampu bertindak secara konsisten dan berprinsip selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti, selain menunaikan amanah serta mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

“PAS sudah mengambil langkah perlu demi memastikan disiplin parti terpelihara. Kini saya berpandangan Bersatu juga wajar mengambil tindakan yang sama terhadap ADUN mereka,” katanya.

Mengulas tindakan tegas PAS terhadap tiga ADUN parti itu di Perlis, beliau menegaskan PAS tidak akan berkompromi dalam soal disiplin jemaah, walaupun keputusan tersebut berpotensi memberi kesan kepada kestabilan pentadbiran negeri.

Menurutnya, prinsip, integriti dan amanah parti perlu diutamakan berbanding kepentingan jangka pendek.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS supaya kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan.

Semalam, PAS mengumumkan keahlian tiga ADUN Perlis terhenti serta-merta selepas dikaitkan dengan tindakan mengemukakan SD bagi menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ismail.

Tiga wakil rakyat berkenaan ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Dalam perkembangan berkaitan, media melaporkan lima ADUN Bersatu yang didakwa turut menandatangani SD berkenaan ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

BBerkaitan

Latest articles