KANGAR: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatannya selepas menghadap dan menyembah maklum surat rasmi kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, hari ini.
Dalam sidang media yang diadakan sebentar tadi, Shukri memaklumkan beliau telah diperkenan menghadap Tuanku Syed Sirajuddin pada tengah hari tadi bagi menyatakan hasrat untuk berundur daripada jawatan tertinggi pentadbiran negeri tersebut atas alasan kesihatan yang tidak mengizinkan.
“Sebentar tadi saya telah diperkenan menghadap Ke Bawah Duli Tuanku dan menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar. Keputusan ini dibuat atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan seperti yang diketahui umum,” katanya.
Menurut Shukri, surat peletakan jawatan telah pun disembahkan kepada Raja Perlis.
Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerajui kerajaan negeri.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam dan rakan-rakan dalam pentadbiran yang telah memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang saya memikul amanah ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa status peletakan jawatan itu masih tertakluk kepada perkenan Raja Perlis, dan pihaknya kini menunggu keputusan rasmi daripada Tuanku Syed Sirajuddin berhubung penerimaan surat tersebut.
Perkembangan ini hadir di tengah-tengah kemelut politik Perlis yang sedang hangat diperkatakan.










