Ada Pemimpin DAP ‘Main Api’, Mahu UMNO Keluar Dari Kerajaan

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mendakwa wujud segelintir pemimpin DAP yang secara senyap-senyap merancang dan memprovokasi agar UMNO keluar daripada Kerajaan Madani, sekali gus menyingkirkan parti Melayu itu daripada Kabinet.

Menurut Puad, pemimpin DAP terbabit melihat kehadiran UMNO dalam kerajaan sebagai satu beban dan penghalang kepada agenda besar mereka untuk membentuk Malaysia berteras fahaman liberal.

Justeru, katanya, pelbagai isu sensitif sengaja dimainkan bagi mencetuskan kemarahan ahli UMNO supaya parti itu sendiri membuat keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan.

Beliau mendakwa strategi itu bertujuan memastikan DAP tidak dilihat sebagai pihak jahat, sebaliknya meletakkan beban keputusan di bahu UMNO.

Malah, Puad menegaskan kumpulan pemimpin DAP berkenaan tidak gusar sekiranya UMNO keluar kerana kerajaan sedia ada diyakini masih mampu bertahan tanpa sokongan parti itu.

“Sebab itu jangan harap Yeo Bee Yin dan Tony Pua akan minta maaf. Pada mereka, lebih cepat UMNO keluar, lebih baik. Amanah pula terlalu kerdil untuk mempertahankan Raja-Raja Melayu. UMNO tidak boleh terperangkap dengan muslihat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan keras Puad hadir susulan gelombang rasa tidak puas hati yang semakin memuncak dalam kalangan pemimpin dan akar umbi UMNO, khususnya berkaitan kontroversi titah adendum melibatkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kemuncak kemarahan tercetus apabila terdapat pemimpin DAP yang didakwa ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib, bekas Perdana Menteri, untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO turut memberi isyarat agar kerjasama parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP dikaji semula.

Antara yang lantang menyuarakan pendirian tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang menegaskan sudah tiba masanya hubungan politik itu dinilai kembali demi maruah dan prinsip parti.

BBerkaitan

Latest articles