PUTRAJAYA, — Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 dijangka dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri pada minggu kedua Januari tahun hadapan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan kabinet secara prinsipnya berpuas hati dengan pelan tersebut yang disifatkan sebagai hala tuju baharu pendidikan tinggi negara untuk tempoh satu dekad akan datang.
“Pelan ini merupakan hasil kolektif dan komitmen pelbagai pihak bagi memastikan pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, berdaya saing, berdaya tahan serta bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut Zambry, penyediaan pelan itu melibatkan konsultasi yang sangat komprehensif dan inklusif dengan penglibatan seramai 8,226 pihak berkepentingan, termasuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti, industri, majikan, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, badan profesional, pertubuhan masyarakat, alumni, kepimpinan mahasiswa, sarjana serta tokoh akademik.
Beliau berkata, penglibatan wakil negeri Sabah dan Sarawak serta semua kaum di Malaysia membuktikan bahawa PPTM bukan sekadar pelan kementerian, sebaliknya merupakan pelan negara yang digerakkan bersama rakyat.
Zambry turut menjelaskan bahawa PPTM 2026–2035 akan berfungsi sebagai “living document” yang dinamik dan akan disemak serta ditambah baik secara berkala bagi memastikan ia sentiasa selari dengan perubahan semasa di peringkat nasional dan global.
“Pelan ini juga mengambil kira cabaran teknologi baharu atau emerging technologies seperti kejuruteraan bersepadu, kecerdasan buatan (AI) generasi baharu, bioteknologi, teknologi kuantum, teknologi mampan serta planetary health,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan teknologi akan diseimbangkan dengan pendekatan berteraskan kemanusiaan (humanity-centric), dengan penekanan kepada nilai moral, etika, integriti dan adab keilmuan sejagat dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.
Dalam masa sama, Zambry berkata pelan itu turut memberikan tumpuan kepada peranan AI sebagai pemangkin utama pembangunan pendidikan tinggi, termasuk dalam pembangunan kurikulum, inovasi penyelidikan, penyediaan bakat profesional AI tempatan serta integrasi teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran.
Berhubung akses pendidikan, beliau berkata pelan tersebut akan memberi penekanan kepada peluasan peluang pendidikan secara inklusif kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi serta memperkenalkan laluan pengajian yang lebih fleksibel merentasi disiplin.
“Ini penting untuk memastikan tiada bakat anak tempatan yang terpinggir hanya kerana kekangan laluan pendidikan sedia ada,” katanya.
Dalam aspek penguasaan bahasa, Zambry berkata pelan itu turut memperkukuh kemahiran pelbagai bahasa (multilingual) dan kompetensi global, dengan Bahasa Melayu terus diperkasakan sebagai bahasa ilmu, di samping Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan global.
Selain itu, beliau berkata penawaran bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab serta bahasa suku kaum di Semenanjung, Sabah dan Sarawak turut akan diperluaskan sebagai kursus di universiti tempatan.
Malaysia juga, katanya, akan terus diperkukuh sebagai hab pendidikan serantau menerusi kerjasama antarabangsa, termasuk penglibatan universiti tempatan dalam penyelidikan bertaraf dunia seperti kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dengan syarikat teknologi global, Intel.
Mengulas pemantauan pelaksanaan pelan, Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi akan membangunkan sistem penanda aras dan dashboard pelaksanaan bagi menilai kemajuan secara berterusan sepanjang tempoh 10 tahun pelaksanaan.
“PPTM ini bukan hanya menyentuh soal kurikulum, tetapi juga penyediaan tenaga kerja masa hadapan dan pembentukan generasi berakhlak, berdaya saing, kreatif serta berdaya tahan dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar,” katanya.










