Timbalan Menteri Agama Tegaskan Isu Nafkah Bekas Isteri, Anak Tak Dipandang Ringan

AYER MOLEK: Kerajaan menegaskan tindakan terhadap lelaki yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dan anak tetap berjalan mengikut peruntukan undang-undang yang tersedia dalam Mahkamah Syariah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, segala proses tuntutan nafkah dikendalikan melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), yang selama ini terbukti berkesan membantu mangsa yang diabaikan haknya.

Menurut beliau, BSK merupakan antara instrumen paling maju dalam menangani isu nafkah berbanding banyak negara lain yang tidak memiliki mekanisme seumpamanya.

“Semua prosedur sudah tersedia dalam Mahkamah Syariah dan kita laksanakan mengikut undang-undang yang ada. BSK ini sebenarnya antara inisiatif terbaik yang membantu mangsa teraniaya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program YADIM Peduli: Sehari Bersama Komuniti MADANI di Kampung Paya Redan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr. Zulkifli berkata usaha memberikan penerangan mengenai konsep Malaysia Madani terus diperkukuh melalui pelaksanaan Pelan Transformasi Al-Falah Madani.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu spa gay di ibu negara baru-baru ini, beliau enggan mengulas lanjut dan menegaskan kenyataan rasmi telah pun dibuat oleh menterinya.

“Semua masih dalam siasatan. Kita ikut jawapan menteri,” ujarnya.

Program berkenaan turut disertai penyampaian bantuan Back To School kepada anak-anak penduduk setempat.

BBerkaitan

Latest articles