Shamsul Iskandar, Albert Tei Didakwa Rasuah RM64,924, Mengaku Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan ahli perniagaan Albert Tei dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah melibatkan jumlah RM64,924.

Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nasir Nordin, dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Menurut kertas pertuduhan, Shamsul, 51, didakwa menerima suapan sebagai dorongan membantu sebuah syarikat berkaitan Albert Tei memperoleh kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Tei, 37, pula dituduh memberikan wang berjumlah RM64,924 yang dimasukkan ke dalam akaun individu bernama Rahmalidya Buyong, dipercayai bagi tujuan pembayaran sewaan rumah di Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Shamsul dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM, manakala Tei didakwa bawah Seksyen 17(b) akta sama, kedua-duanya membawa hukuman penjara dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abra. Shamsul diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, manakala Tei diwakili barisan peguam termasuk Rajesh Nagarajan, Mahajoth Singh dan Eric Paulsen.

Pihak pendakwaan memohon agar syarat jaminan yang dikenakan terhadap mereka dalam empat kes lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam turut terpakai bagi kes ini.

Hakim meluluskan permohonan tersebut dan mengarahkan semua kes dipindahkan untuk dibicarakan bersama.

Semalam, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan jaminan RM150,000 terhadap Shamsul bersama dua penjamin, selain mengarahkan pasportnya diserahkan dan beliau melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Tei pula dibenarkan diikat jamin RM70,000 dengan dua penjamin.

BBerkaitan

Latest articles