ALOR GAJAH: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki di Taman Bidara Permai, Masjid Tanah berakhir tragedi apabila mangsa ditemukan lemas malam tadi selepas dua jam setengah operasi pencarian dijalankan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli, berkata mangsa berusia 11 tahun itu dijumpai pada jam 8.35 malam dalam keadaan tersangkut pada sebatang pokok, kira-kira 600 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam longkang.
Menurutnya, Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) melaksanakan teknik ‘rapid deployment approach’ serta pencarian permukaan berikutan aliran air yang deras dan paras air yang tinggi.
Tambah Zulkhairani, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.47 petang dan pasukan bomba tiba di kawasan kejadian 13 minit kemudian sebelum operasi mencari digerakkan segera.










