BN Yakin Pengundi Tanjung Batu Sudah ‘Bertukar’ Arah

TAWAU: Barisan Nasional (BN) semakin yakin untuk mencipta kejutan di DUN Tanjung Batu apabila mendakwa sokongan pengundi, khususnya anak muda, melonjak drastik menjelang hari terakhir kempen.

Calon BN, Samasuddin Yusop, berkata mood pengundi kini menunjukkan gelombang positif yang jauh lebih kuat berbanding permulaan kempen.

Menurut beliau, kehadiran lebih 2,000 penduduk pada Program Titik Temu Mega di PDM Keramat menjadi bukti bahawa jentera BN kekal kukuh dan bertenaga sehingga ke saat-saat akhir.

“Pengundi veteran memang dari dulu bersama BN, itu tidak berubah. Tapi kali ini yang buat saya sendiri terkejut ialah kemunculan anak muda dengan semangat luar biasa,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Samasuddin turut mendedahkan bahawa Markas Undi Muda yang sebelum ini dipenuhi kelompok neutral kini berubah sepenuhnya apabila majoritinya memilih menyokong BN dalam tempoh hanya dua minggu.

“Kita nampak komitmen mereka sangat tinggi. Malah ada maklumat dalaman mengatakan sebahagian penyokong lawan pun sudah mula beralih arah. Ini satu suntikan moral yang besar,” ujarnya.

Mengulas kehadiran ikon muzik tanah air, Datuk Jamal Abdillah, Samasuddin menafikan penyertaan artis sebagai taktik memancing undi.

“Isu guna artis tidak timbul. Program kami sebelum ini pun penuh walaupun tanpa artis. Kehadiran Jamal hanya sebagai penghargaan kepada jentera yang bekerja tanpa henti,” katanya sambil menjelaskan bahawa penyanyi itu dibawa oleh negeri angkat BN Kalabakan, iaitu Perak, sebagai simbol persaudaraan.

Beliau memaklumkan program tersebut merupakan acara kemuncak sebelum BN menutup tirai kempen dengan Tanjung Batu Berzikir di PDM Pasir Putih malam esok.

Dengan nada optimis, Samasuddin percaya arus sokongan yang semakin kuat, terutama daripada golongan belia bakal diterjemahkan secara nyata di peti undi pada hari pengundian.

BBerkaitan

Latest articles