Anwar: “Cari 40% Hasil Sabah Bukan Kerja Mudah, Bukan RM20 Juta

TUARAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui proses memenuhi tuntutan Sabah bagi mendapatkan semula 40 peratus hasil negeri bukan sesuatu yang mudah, memandangkan jumlah yang terlibat mencecah berbilion ringgit.

Berucap pada Program Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Lok Batik, Anwar berkata tuntutan berkenaan berkait rapat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perlu diputuskan dengan penelitian mendalam.

“Orang cakap 40 peratus, tapi bukan semudah itu. Ini bukan RM20 juta yang saya boleh tandatangan hari ini. Ini berbilion-bilion ringgit, jadi kita perlu rujuk kembali perjanjian dan pastikan semuanya tepat,” katanya.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga calon GRS N12 Sulaman serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), menegaskan hanya Kerajaan GRS dan Kerajaan Madani yang benar-benar komited melaksanakan MA63 termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri itu.

“Kerajaan sebelum ini cakap apa? Ada mereka tunaikan? Tetapi kerajaan sekarang yang bangkitkan isu ini dan kita berusaha menunaikannya,” katanya.

Menurut Anwar, beliau mengenali Hajiji sejak sekian lama dan memuji ketegasan Ketua Menteri itu dalam membawa suara rakyat Sabah.

“Dia jaga Sulaman, tapi Keningau pun dia fikir, Tawau pun dia ambil tahu. Itu sifat pemimpin yang baik,” tambah beliau.

Perdana Menteri turut menekankan pentingnya hubungan erat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat bagi memastikan isu 40 peratus dapat diselesaikan.

“Saya bawa isu ini ke Jemaah Menteri. Bila saya bawa, maknanya ada komitmen. Kalau asyik bergaduh, tuntutlah apa pun, saya tak peduli. Tapi kalau kita berbincang elok-elok, kita boleh capai penyelesaian,” katanya.

Anwar turut mengulangi jaminannya di Parlimen bahawa kerajaan persekutuan akan menghormati komitmen terhadap MA63 dan berusaha melaksanakan bayaran 40 peratus itu secepat mungkin.

BBerkaitan

Latest articles