PINTASAN: Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) N.8 Pintasan, Datuk Fairuz Renddan menyifatkan sokongan rakyat terhadap perjuangannya sebagai sesuatu yang amat bermakna, termasuk melalui pelbagai “surat cinta” yang diterimanya secara langsung daripada penduduk kampung.
Menurut beliau, surat-surat tersebut bukan sekadar luahan perasaan, malah mengandungi permintaan khusus berkaitan keperluan asas dan kebajikan rakyat, termasuk permohonan pembinaan laluan khas bagi pengguna kerusi roda.
“Perkara seperti ini memang biasa saya terima. Mereka menulis sendiri isi hati mereka, keperluan mereka, dan kebanyakannya saya akan terus usahakan untuk diselesaikan. Dengan cara ini, jurang antara pemimpin dan rakyat tidak terlalu jauh,” katanya ketika ditemui semasa jelajah kempen di kawasan itu disini, hari ini
Fairuz turut mengakui bahawa kempen sebagai calon bebas kali ini bukan sesuatu yang mudah kerana beliau bergerak sepenuhnya dengan jentera sendiri tanpa sokongan besar seperti calon-calon kerajaan.
“Sebagai calon bebas, kami bergerak secara berdikari. Dalam sehari, kempen boleh mencecah 11 hingga 12 program. Memang berat dan mencabar, tetapi saya bersyukur kerana sejak lima tahun lalu saya tidak pernah berhenti bekerja di kawasan ini. Sebab itu rakyat masih mengingati apa yang telah kami lakukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada para pengundi di DUN N.8 Pitas supaya memberikan peluang kepadanya untuk terus berkhidmat dan menyempurnakan beberapa urusan penting yang sedang berjalan.
“Saya hanya memohon satu perkara daripada rakyat iaitu izinkan saya menyelesaikan tanggungjawab yang masih belum selesai. Saya tidak sanggup meninggalkan DUN ini dalam keadaan kerja tergantung,” katanya.
Antara perkara utama yang sedang dalam proses ialah urusan berkaitan pembangunan, kebajikan serta penyukatan geran tanah melibatkan seramai 1,635 penerima di kawasan itu.
Mengulas lanjut mengenai pendekatan kepimpinannya, Fairuz menegaskan bahawa beliau tidak pernah meletakkan dirinya sebagai pemimpin yang terpisah daripada rakyat.
“Sepanjang lima tahun saya di sini, saya tidak pernah menganggap diri saya wakil rakyat yang berada di atas dan mereka di bawah. Bagi saya, kita semua rakyat. Sebab itu mereka tidak segan untuk berjumpa, berkongsi masalah dan meminta bantuan,” jelasnya.
Beliau turut memohon doa dan sokongan rakyat menjelang hari pengundian yang hanya berbaki dua hari lagi.
“Saya mohon doa semua. Tinggal dua hari sahaja lagi,” katanya.










